Panitia Bahasa Malaysia

Contoh karangan penulisan 


Kamu akan menyertai pertandingan syarahan di peringkat daerah. Tajuk syarahan yang diberi ialah "Kebersihan Sekolah Tanggungjawab Murid". Tulis syarahan itu selengkapnya.


            Yang Dihormati Tuan Pengerusi Majlis, barisan hakim yang arif lagi bijaksana, guru-guru dan rakan-rakan yang dikasihi sekalian. Selamat sejahtera saya ucapkan. Berdirinya saya di sini adalah untuk menyampaikan sebuah syarahan yang bertajuk, "Kebersihan Sekolah Tanggungjawab Murid".
       
Hadirin Sekalian,


           Sekolah yang bersih menjadi impian para guru dan murid-murid. Pelbagai usaha telah dijalankan oleh semua pihak untuk memastikan persekitaran sekolah berada dalam keadaan bersih.Antara aktiviti yang sering dijalankan ialah pertandingan kelas terbersih. Selain dapat mewujudkan suasana kelas yang ceria, usaha ini juga dapat memupuk semangat kerjasama dalam kalangan murid-murid.


           Meskipun ada pekerja yang ditugaskan membersihkan kawasan sekolah murid-murid tidak wajar meletakkan tanggungjawab ini kepada mereka semata-mata. Sebagai murid, kita perlu sedar bahawa kawasan yang perlu dibersihkan oleh pekerja itu terlalu luas. Oleh itu, tidak salah jika kita turut sama membantu mereka.


           Segala kemudahan seperti penyapu dan tong sampah yang mencukupi telah disediakan di dalam setiap kelas. Sebagai murid yang bertanggungjawab, segala kotoran dan sampah-sampah perlu disapu dan dimasukkan ke dalam tong sampah yang disediakan.


           Sekolah dan kelas yang bersih juga memberi impak kepada pembelajaran murid-murid. Sekiranya persekitaran kotor, keadaan ini akan menzahirkan pemandangan yang kurang enak. Hal ini menyebabkan kita gagal menumpukan perhatian kepada proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Tidakkah itu merugikan diri kita sendiri ?
      
Hadirin sekalian,


           Akhir sekali saya ingin menyeru kepada rakan-rakan, marilah kita bersama-sama menjaga kebersihan di kawasan sekolah. Sesungguhnay menjaga kebersihan merupakan ibadah yang mulia dan harus dimanfaatkan oleh setiap insan.


         Sekian, terima kasih.